(STIBA.ac.id) Makassar –  Nur Dhabitah binti A Hamid, Norhana Tasa Mohamad Isah, Nik Noor Syifaa Nik Hassan, dan Iffa Syaheera bt Mat Sharif adalah mahasiswi-mahasiswi USIM Malaysia yang menjalani magang di STIBA sejak 02 Februari-21 Mei 2019. Mereka menyusul pendahulu mereka yang setahun lalu juga menyelesaikan magang di STIBA.

Kini mereka telah meninggalkan STIBA Makassar, namun kesan-kesan selama bermuamalah dengan ratusan civitas academica STIBA telah Hana dan Iffa goreskan dalam untaian kalimat yang dapat dibaca pengunjung situs web ini.

Kesan yang ditulis oleh Norhana Tasa binti Mohamad Isah:         

Memohon untuk melakukan magang di STIBA bukanlah mudah seperti yang disangka. Kami perlu membuat permohonan di pejabat USIM Alamiyah, mengisi borang, menyiapkan kertas kerja,  serta kami perlu mengira perbelanjaan kewangan yang diperlukan untuk tinggal di negara jiran tidak lebih empat bulan pada masa kami tidak punya sumber yang tetap. Tidak lupa juga, kami menjalani temuduga bersama Pihak pegawai Usim Alamiyah dan Wakil Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah. Dalam keadaan tidak punya daya untuk berbahasa Arab dengan fasih, pihak USIM risau untuk melepaskan kami magang di STIBA kerana terkenalnya STIBA dengan kefasihan bahasa Arab.

Berasaskan motto yang saya pegang semenjak saya berada di SMA, “the biggest failure of all is the person that never tries” iaitu lebih kurang maksudnya “kegagalan besar seseorang  adalah apabila dia  tidak berani untuk mencuba”, menjadikan saya lebih bersemangat memerah akal di dalam bilik temuduga agar pihak USIM mengizinkan perjalanan kami. 

Alhamdulillah, atas keizinan daripada Allah, akhirnya kami diberi peluang untuk meneruskan impian untuk magang di STIBA dan telah tiba masanya untuk kami meninggalkan bumi STIBA yang penuh barokah ini.

Ramai akhawat yang bertanya kenapa kami memilih STIBA. Oleh yang demikian, saya ingin menjawab persoalan itu. Datangnya kami di sini bukan dipaksa, namun atas dasar kehendak sendiri. Pensyarah Kanan Fakulti Quran dan Sunnah telah menerangkan mengenai STIBA. Setelah mendengar penjelasan daripada ustaz mengenai STIBA yang sentiasa disinari dengan majlis-majlis ilmu, komunikasinya juga dalam bahasa Arab, pelajar mempraktikkan apa yang mereka pelajari itu menguatkan perasaan saya untuk menjadikan STIBA sebagai tempat latihan ilmiah saya.  Dan alhamdulillah, Allah memberikan kami peluang untuk mengikuti aktivitas-aktivitas STIBA yang penuh dengan manfaat.

Keputusan untuk magang di STIBA tidak pernah saya sesalkan. Allah telah membuka peluang sebaiknya buat saya untuk mengikuti kelas-kelas bersama akhawat, diberi kepercayaan untuk menjadi panitia untuk program besar universitas iaitu PORSANI XIII, mengikuti taklim fiqh dan hadith setiap minggu, ulangkaji bahasa Arab,  mengikuti kelas tahsin Quran, dan pelbagai majlis ilmu. Tidak dinafikan bahawa pernah berasa sentap apabila ditegur tentang bahasa Arab. Namun dengan sentapan itu mampu menguatkan semangat kami untuk mempelajari bahasa Arab  dengan lebih serius lagi. Tambahan pula, tidak boleh tidak bahasa Arab itu hanya bisa lancar dengan cara praktik berkomunikasi bersama yang lain.

Selain itu, keindahan akhlak para akhawat sangat menyejukkan hati. Mereka sentiasa mengambil berat hal-hal kami, juga mengajak kami  menziarahi bilik, dan mengajak kami mengenali bumi Makassar. Syukur tidak terhingga kerana diketemukan dengan para dosen STIBA yang tidak lekang senyumannya, baik budinya, serta selalu mengajak ke idarah (kantor) makan bersama, mengeratkan silaturrahim. Terima kasih juga kepada pihak STIBA kerana memberi kami peluang untuk saling berkongsi ilmu semasa berasa di sini.

Oleh itu, saya berharap semoga kegiatan ilmu bahasa Arab, ilmu Fiqh dan dakwah di STIBA mampu menjadi pedoman dan memberi kesan yang baik kepada setiap insan di seluruh dunia, in shaa Allah.

Harapan saya juga agar bumi STIBA Makassar ini mampu menjadi lebih unggul di masa akan datang.

Saya ingin memohon maaf atas segala kekurangan daripada diri saya sebagai mahasiswa jurusan Quran Sunnah USIM sepanjang keberadaan saya di sini. Tidaklah sia-sia kedatangan kami di sini melainkan kami sendiri yang mensia-siakan masa tersebut. Seperti kata pepatah Arab mengatakan,

“الوقت كالسيف إن لم تقطعه قطعك”

Barakallahu fikum. Wassalamualaikum.

Norhana Tasa binti Mohamad Isah          

Mahasiswi USIM, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah.  

15 Ramadhan 1440H     

STIBA Makassar, Indonesia.

 

Kesan yang ditulis oleh Iffa Syaheera bt Mat Sharif

Pertama-tamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada seluruh warga STIBA Makassar yang telah menerima kehadiran kami selaku pelajar daripada USIM untuk melakukan magang di sini selama hampir empat bulan. Sesungguhnya, ini merupakan peluang keemasan yang sangat baik dan pengalaman baru yang sukar dicari di mana-mana dan tiada tolok tandingnya.

Menjejakkan kaki ke kampus STIBA Makassar untuk pertama kali saya bagai sudah dapat merasakan kekuatan bi’ah dan suasana tempat ini. Dengan pelbagai program yang diadakan setiap hari menunjukkan betapa thabatnya mereka dalam tetap istiqamah untuk memperjuangkan agama Islam yang semakin hari semakin tertindas dek kelalaian orang Muslim itu sendiri.

Jarang sekali saya melihat satu suasana yang hanya menggunakan Bahasa Arab untuk berkomunikasi dalam kehidupan sehari-hari sehinggalah saya sampai di sini dan mendengarkannya sendiri. Saya yang pada awalnya agak kekok untuk ‘takallam’ kerana terlalu biasa dengan ‘speaking’ kini sehingga boleh berbicara dan bercakap dengan akhawat dalam bahasa Arab. Bak kata pepatah Arab “man jadda wajada” yang bermaksud siapa saja yang sungguh-sungguh dia akan mendapatkannya. Bagi saya, ia merupakan satu usaha yang baik untuk membiasakan pelajar berbicara dalam bahasa Arab kerana bahasa jika tidak digunakan akan mudah terhakis dari ingatan. Malah, dengan memahami Bahasa Arab secara tidak langsung ia memudahkan kita untuk memahami Quran.

Di sini juga saya telah diberikan peluang untuk memasuki beberapa kelas dan melihat sendiri bagaimana mereka belajar sehingga mampu menguasai setiap madah dengan baik. Agak mengejutkan pada awalnya kerana keadaan pembelajaran yang sangat berbeza dengan kebiasaannya di mana jika Ustaz yang mengajar di hadapan akan ada langsir yang menghalang antara pelajar dan guru. Pada saya ini inisiatif yang sangat baik dalam menjaga bi’ah solehah sesama muslimin dan muslimat.

Ketika di sini juga, saya berpeluang mengikuti daurah dan ta’lim yang diadakan pada setiap petang dan malam. Daripada Feqah sehingga Hadith dan juga Tafsir. Hal ini, bukan saja dapat menambahkan ilmu malah memantapkan kefahaman yang sedia ada. Justeru, antara benda yang paling berharga apabila diberikan kesempatan untuk sama mengikuti daurah Syaikh Abdullah Hammad az-Zaydani selama seminggu yang bertempat di sini. Banyak ilmu yang dapat dikutip dan wasilah yang tidak mugkin untuk dicari di tempat lain.

Perkara paling terbaik sewaktu di sini ialah dapat mengenali warga STIBA terutama para ustadzat dan akhawat, tidak dilupakan buk dapur yang sentiasa menyajikan kami dengan makanan yang enak dan lazat. Secara jujurnya, saya amatlah tertarik dengan akhlak yang ditunjukkan sewaktu kami sampai sehinggalah kami pulang. Sesungguhnya, kalian telah berjaya menambat hati kami dengan akhlak kalian yang sangat peramah dan baik hati. Tidak terbalas setiap jasa yang telah kalian berikan kepada kami.

Akhir kalam, ingin saya bawakan firman Allah taala di dalam surah Al-Hujurat pada ayat 13 yang bermaksud “kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal”. Ayat ini sangat terkena dengan keadaan kami yang magang di Indonesia walhal kami asalnya dari Malaysia. Kami amat senang sekali dapat berkenalan dengan ustadzat dan teman-teman dari Indonesia, hal ini tidak lain tidak bukan, kami harapkan ukhuwwah ini kekal sehingga ke akhir hayat lillahi taala.

Terima kasih sekali lagi untuk ruang dan peluang ini. Hanya Allah yang dapat membalas segala kebaikan kalian. Sehingga kita bertemu lagi di lain waktu dan tempat, inshaAllah.

 

Iffa Syaheera bt Mat Sharif

Mahasiswi USIM, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah,

17 Ramadhan 1440H,

STIBA Makassar, Indonesia.

 

 

 

 

 

Loading

Tinggalkan Balasan